Wednesday 24 Jan 2018
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
  • default style
  • blue style
  • red style
  • yellow style
Pengaruh Animisme di Kalangan Masyarakat Islam Suku Kaum Semoq Beri di Kampung Kuching, Taman Negara, Pahang PDF Print E-mail
Wednesday, 12 May 2010 10:20

Animisme merupakan kepercayaan terhadap kuasa roh dan makhluk halus yang dikatakan ‘belief in spiritual being’, iaitu suatu kepercayaan bahawa setiap benda mempunyai jiwa atau roh. Kepercayaan ini suatu yang diterima secara warisan turun-temurun nenek moyang masyarakat mereka. Fenomena alam, kedudukan geografi, hutan dan iklim mempengaruhi pegangan hidup dan pemikiran masyarakat tersebut. Pengaruh ini masih wujud di kalangan Orang Asli suku kaum Semoq Beri di Kampung Kuching, Taman Negara, Pahang walaupun mereka telah memeluk Islam kira-kira 11 tahun yang lalu. Mereka mempercayai setiap benda di alam ini seperti pokok atau batu besar mempunyai kuasa yang mesti dijaga dan dihormati. Justeru, kajian ini telah dilakukan untuk meneliti pengaruh kepercayaan tersebut dalam kehidupan mereka. Metodologi kajian lapangan dilakukan melalui temubual, obvervasi, soal selidik dan data-data pihak berautoriti seperti Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) telah dianalisa untuk mendapatkan hasilnya. Setelah kajian dilakukan, para pengkaji menemui pelbagai pengaruh animisme yang wujud di kalangan masyarakat suku kaum ini, terutama dalam aspek kepercayaan alam semesta,  perubatan, perkahwinan dan kematian. Kajian ini dilakukan di Taman Negara Pahang dengan mendapat dana FRGS Kementerian Pengajian Tinggi sebanyak RM10,000.00. Kajian ini dilakukan selama setahun dari Julai 2008 hingga Jun 2009. Laporan ringkas kajian adalah seperti berikut :

1. Pengenalan
Masyarakat Orang Asli suku kaum Semoq Beri adalah sub etnik kumpulan Senoi yang mempunyai bahasa, budaya dan identiti etniknya tersendiri. Mereka memperlihatkan ciri-ciri unik yang berlainan dengan penduduk bumiputera lain. Suku kaum ini hanya terdapat di Semenanjung Malaysia dengan kebanyakkannya tinggal di Perak, Kelantan dan Pahang. Jumlah yang tinggal di Taman Negara, Pahang pula ialah 120 orang, iaitu sebanyak 32 rumah bertempat di Kampung Kuching. Sumber pendapatan mereka adalah menoreh getah, mencari ikan, berburu dan mencari hasil hutan seperti gaharu.
Dalam aspek kepercayaan, hipotesis menunjukkan mereka masih lagi terpengaruh dengan animisme  yang turun temurun. Sebahagian besar di kalangan mereka dikatakan berpegang teguh dengan kepercayaan karut dan amalan khurafat yang diambil daripada tradisi nenek moyang mereka serta mempertahankannya kerana ditakuti berlaku sesuatu yang tidak baik dalam kehidupan. Kajian ini dilakukan untuk membukti hipotesis ini di samping mencapai objektif untuk meneliti pengaruh animisme dalam kepercayaan masyarakat suku kaum Semoq Beri dan mencadangkan suatu mekanisme pemurnian kepercayaan yang bertepatan dengan Islam.

2. Metodologi
Kajian ini berbentuk deskriptif dan kualitatif dengan menggunakan kajian teks (textual study) dan kajian lapangan (field research). Kajian teks digunakan dalam memperolehi data berkaitan Orang Asli, masyarakat Semoq Beri dan konsep animisme. Melalui kajian lapangan, pengkaji telah pergi ke lokasi kajian di Taman Negara sebanyak tiga kali, iaitu sekali untuk kajian tinjauan (review) dan dua kali untuk kajian menyeluruh. Kajian ini juga menggunakan kuantitatif, tetapi bertujuan hanya sebagai pendukung untuk memperkuatkan hasil kajian lapangan.
Dalam usaha mengumpul data, pengkaji menggunakan sumber data primer dan sekunder. Data primer diperolehi melalui teknik temubual dan observasi. Data sekunder pula diperolehi daripada laporan, buku, majalah, artikel, kertas kerja dan sebagainya yang relevan. Pengkaji melakukan temubual secara berstruktur dan tidak berstruktur. Temubual berstruktur dibantu dengan rantaian set soal selidik yang telah disusun dan direncanakan terlebih awal. Responden untuk temubual adalah seramai 20 orang dan untuk soal selidik adalah seramai 40 orang, termasuk lelaki, perempuan, pemuda dan warga emas. Sample ini mewakil satu pertiga penduduk suku kaum Semoq Beri di lokasi kajian. Untuk menganalisa data yang diperolehi, penulis menggunakan metod induktif, deduktif dan komparatif. Data kuantitatif daripada soal selidik dianalisa dengan menggunakan aplikasi Statistical Package for the Social Sciences (SPSS).

3. Hasilan
Setelah kajian dibuat, didapati masyarakat Islam Orang Asli suku kaum Semoq Beri di Taman Negara, Pahang masih mempercayai dan mengamalkan unsur animisme dalam beberapa kehidupan mereka. Pengaruh animisme terdapat dalam beberapa aspek seperti berikut :

3.1 Pengaruh animisme dalam aspek alam semesta
Mereka percaya bahawa ciri-ciri geografi yang luarbiasa seperti sungai, pokok-pokok besar di hutan, gunung ganang, batu-batu besar mempunyai semangat. Begitu juga kuasa semulajadi seperti guruh, petir, kilat, pelangi dan hujan lebat mempunyai semangat yang diistilahkan sebagai jin, syaitan dan penunggu.  Kepercayaan tersebut membuatkan mereka menghormati alam semulajadi dan menimbulkan kebimbangan kerana takut menerima kemarahan semangat tersebut. Sebelum masuk ke hutan, mereka percaya hendaklah membaca Bismillahirrahmanirrahim dan menyebut permohonan keizinan seperti “Enjik, jangan ganggu kami, yek gak kerjak”. Sekiranya tidak menyebut demikian atau melanggar pantang larang tersebut mereka percaya akan diganggu oleh penunggu hutan yang disebut sebagai semangat.
Mereka juga percaya tidak boleh menyikat rambut, meniru bunyi binatang seperti burung, katak, harimau, gajah, singa dan lain-lain jika berada dalam hutan. Jika tidak, ia akan terkena celau, iaitu berlaku ribut, banjir dan kemarau. Begitu juga tidak boleh menimbus belalang dalam tanah, meniru suara katak, menyeksa anjing dan ular, membakar kutu dan mentertawakan sesuatu di sungai. Orang yang melakukannya akan mengidap penyakit atau cacat anggota. Seluruh aktiviti sungai (seperti Sungai Pahang) sama ada perjalanan, menangkap ikan, menyeberang sungai dan sebagainya mesti memohon izin daripada penunggu. Pelanggaran pantang larang demikian dipercayai boleh mendatangkan masalah kepada diri sendiri, keluarga dan penduduk kampung tersebut seperti petir, guruh dan hujan yang sangat lebat, ular, harimau dan binatang buas yang lain.
Pokok-pokok besar seperti beringin dan merbau pula dianggap mempunyai semangat yang perlu dijaga supaya tidak mengganggu kehidupan mereka. Jika dilakukan perkara-perkara yang tidak sopan seperti meludah, menakik, membuang air kecil di pokok-pokok besar, mereka akan mendapat kemarahan makhluk ghaib hingga boleh mendapat sakit. Objek-objek yang tidak bernyawa seperti tanah perkuburan, batu-batan yang besar dan berbentuk luar biasa, gunung-ganang, paya, sungai serta kolam mempunyai semangat dan penunggu. Seseorang yang berada pada tempat-tempat yang terdapat objek tersebut terlebih dahulu perlu memohon izin sekurang-kurangnya dengan menyatakan “Tolong jangan ganggu kami, kami nak buat kerja”, “Kami nak lalu” atau “Kami nak tumpang mandi kalau berada di sungai.” Malah, ketika berburu atau membunuh binatang tidak dibenarkan menyanyi dan bersiul kerana ditakuti akan mengidap penyakit dan kemungkinan besar berlaku kecacatan anggota.
Mereka percaya seseorang yang bermimpi mengharungi air sungai dan laut, banjir, mimpi melihat dan menangkap ikan menunjukkan petanda yang baik, iaitu akan melihat kebaikan, kesenangan dan kejayaan dalam hidup. Begitu juga sekiranya seseorang bermimpi menanam pokok, memetik buah atau membina rumah menandakan seseorang itu hidup senang dan sentiasa mendapat keuntungan. Sekiranya bermimpi bertemu dengan ular, gajah dan harimau atau binatang yang berbisa ia membawa petanda perlu ditangguhkan sebarang pekerjaan seperti masuk ke hutan, memburu, menangkap ikan dan lain-lain kerana takut menghadapi kesakitan, kemalangan dan sebagainya.

3.2    Pengaruh animisme dalam aspek perubatan
Mereka juga percaya jika mendapat sakit dan perlu kepada bomoh atau pawang untuk mengubatinya. Bomoh dan pawang dipercayai boleh menjadi pengantara untuk memohon keampunan bagi pihak orang yang melakukan kesilapan supaya tidak terjadi sesuatu yang tidak baik ke atas dirinya. Malah, untuk mengatasi masalah mimpi, kebanyakan mereka akan bertemu dengan Tok Batin atau pawang supaya dapat menghilangkan perkara buruk dalam kehidupan mereka. Untuk mendapat ilmu perbomohan pula, mereka percaya seseorang itu hendaklah keluar mengembara sekurang-kurangnya seminggu menaiki tujuh bukit dan bersedia menghadapi pelbagai gangguan dalam perjalanan. Selain itu, mereka juga percaya orang sakit tidak boleh dilangkah kerana dibimbangi orang sakit akan bertambah sakit. Orang sakit yang sedang berubat pula tidak boleh dihampiri takut penyakit akan berjangkit.

3.3    Pengaruh animisme dalam aspek kematian
Suku kaum ini juga percaya bila berlaku kematian hendaklah dikebumikan segera bimbang jika jenazah dilangkah binatang seperti kucing atau anjing akan membawa nasib malang. Jenazah yang dilangkah oleh binatang boleh hidup semua menjadi binatang tersebut yang akan memakan semua orang kampung. Bila berlaku kematian, anak dan keluarga hendaklah meletakkan kapur di telinga untuk menggelakkan gangguan.

3.4    Pengaruh animisme dalam aspek perkahwinan
Suku kaum Semoq Beri mengamalkan amalan semasa melangsungkan perkahwinan seperti Tok Batin meminta kedua-dua pengantin memegang benang atau tali tujuh warna supaya perkahwinan akan berkekalan. Mereka percaya sekiranya benang tersebut putus atau hilang, ia menandakan perkahwinan mereka akan terlerai. Banyak pantang larang yang diamalkan untuk keselamatan seperti tidak boleh memuji anak, baik atau buruk kerana ditakuti anak akan mengalami kecacatan. Ketika isteri hamil, suami tidak boleh membunuh binatang dengan sesuka hati kerana ditakuti berlaku kecacatan pada anggota bayi yang bakal dilahirkan.

4. Kesimpulan
Dapatan kajian telah menemukan pelbagai pengaruh animisme yang masih dipercayai oleh Orang Asli suku kaum Semoq Beri walaupun mereka telah memeluk Islam 11 tahun yang lalu. Dapatan kajian mencadangkan adalah wajar Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dengan kerjasama institusi pendidikan dan badan-badan dakwah serta NGO lain mengadakan pelbagai aktiviti yang boleh mengubah minda serta menghilangkan pengaruh animisme dalam amalan kehidupan seharian mereka. Selain itu beberapa orang komunikator perlu ditempatkan dan tinggal menetap di Kampung Kucing untuk membimbing dan mendidik mereka memahami Islam sebagai way of life. Secara tidak langsung para komunikator adalah merupakan pakar rujuk dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi bukan lagi bergantung kepada pawang atau bomoh semata-mata.  Penglibatan semua pihak amat diperlukan bagi memajukan kehidupan masyarakat Semoq Beri dalam pembangunan fizikal dan spiritual.


Rujukan

Benjamin, G. (1976). Austroasiatic Subgroupings and Prehistory in the Malay Peninsular.  Dlm. Jenner. P., Thompson L.C. dan Starosta S., (pnyt.). Austroasiatic Studies : h. 37-128. Honolulu : University of Hawaii Press.
Carey, I. (1976). Orang Asli : The Aborigines Tribes of Peninsular Malaysia. Kuala Lumpur : Oxford University Press.
Endicott, K. (1975). A Brief Report of Semaq Beri of Pahang. Federation Museums Journal. Vol. XX. h. 3 – 23.
Fui, L.H. (1997). Forest and Development. Kuala Lumpur : Forest Research Institute Malaysia.
Idris, J. (1968). Distribution of Orang Asli in West Malaysia. Federation Museums Journal. Vol. XIII New Series. h. 3 – 23.
Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia. 2004. Data Maklumat Asas JHEOA sehingga 31 Disember 2003.
Jones, A. (1968). The Orang Asli. An Outline of their Progress in Modern Malay. Journal of Southeast Asian History. 9 (2). h. 294.
Ramle Abdullah. (1988). Komuniti Orang Asli Semaq Beri dan Kemasukan Islam. M. Phil. Thesis, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Schebesta, P. (1928). Among the Forest Dwarf of Malaya. London : Hutchinson and Co. Ltd.
Tengku Khalidah Tengku Bidin. (1996). Tarian Orang Asli Beralih ke Hotel. Utusan Malaysia, 9 Julai.
Undang-undang Malaysia, Akta 134 (Akta Orang Asli 1954) Semakan 1974.
Wilkinson, R. J. (1971). Papers on Malay Subjects. Kuala Lumpur : Oxford University Press.


 

“Islam adalah suatu sistem universal yang lengkap dan mencakup seluruh aspek hidup dan kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air, pemerintahan dan rakyat, akhlak dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan peradilan, material dan sumber daya alam, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan pemikiran, sebagaimana Islam adalah aqidah yang lurus dan ibadah yang benar, tidak kurang dan tidak lebih”. - Hasan al-Banna

Apakah Islam?
loader

Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu rasmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

 

Latest Article