Wednesday 24 Jan 2018
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
  • default style
  • blue style
  • red style
  • yellow style
Artikelku dalam Berita Harian : Tiga sumber pastikan sahih hadis PDF Print E-mail

Tiga sumber pastikan sahih hadis

Oleh Najahudin Lateh

Pengkaji wajib teliti sanad kecuali daripada Bukhari, Muslim

KITA sering mendengar dan membaca teks hadis Rasulullah SAW sama ada di surau, masjid serta media massa. Penyampaian itu sama ada secara teks asal atau terjemahan sangat baik dan digalakkan.

Namun, suatu perkara yang selalu diambil ringan dalam proses penyampaian sesuatu hadis adalah berkaitan sumber dan kesahihannya daripada Nabi SAW. Oleh itu, sewajarnya penceramah, penulis atau pengkhutbah Islam berhati-hati dalam memilih dan menyebarkan hadis Rasulullah SAW.

Usaha menjadikan hadis sebagai sumber sandaran hujah amat dialu-alukan tetapi ada beberapa disiplin ilmu hadis diabaikan oleh mereka yang menggunakan hadis. Antaranya memastikan hukum hadis itu sahih atau tidak.

 

Ini boleh dilakukan dengan mengutip hukum klasifikasi hadis oleh pengarang, pengtahqiq (pengulas) atau melalui kajian sanad oleh pengguna hadis sendiri. Namun, ada beberapa perkara penting dalam membuat penilaian hukum hadis dalam sesuatu karya.

 

Mereka yang mengutip hadis dalam karya sahih al-Bukhari dan sahih Muslim tidak perlu membuat kajian sanad hadis itu kerana hukum semua hadis kedua-duanya adalah sahih. Al-Bukhari dan Muslim hanya meriwayatkan hadis sahih dengan sanad yang baik.

 

Kewujudan hadis dalam salah satu karya sahih itu sudah memadai untuk menghukum hadis sahih dan tidak perlu membuat kajian sanad lagi kerana matlamat kajian sanad adalah untuk mengetahui sahih atau tidak sesuatu hadis.

 

Al-Nawawi menjelaskan, perbezaan antara karya sahih (al-Bukhari dan Muslim) dengan karya lain adalah kedua-duanya tidak perlu diteliti lagi, bahkan wajib beramal dengan hadisnya. Karya lain perlu diteliti dan didapati memenuhi syarat sahih. Pendapat ini adalah mazhab ahli hadis, bahkan Ibn al-Salah menyatakan hadis dalam kedua-dua karya tersebut adalah sahih secara qat’i (muktamad).

 

Pengkaji hadis perlu menyatakan hukum hadis dalam karya selain sahih al-Bukhari dan sahih Muslim kerana hadis dalam karya lain ada yang sahih dan ada yang tidak.

 

Pernyataan hukum boleh dimasukkan daripada tiga sumber iaitu menyatakan hukum hadis yang dinyatakan oleh pengarangnya; menyatakan hukum hadis yang dinilai oleh pengtahqiq atau penilaian kendiri oleh pengguna hadis melalui pengkajian sanad.

 

Penyataan hukum hadis terutama dalam penulisan perlu kerana tidak semua karya hadis selain karya sahih al-Bukhari dan sahih Muslim mengandungi hadis sahih.

 

Adalah tidak memadai sesuatu hadis itu dikatakan sahih hanya semata-mata kewujudannya dalam kitab seperti Sunan Abi Dawud, Sunan al-Tirmidhi, Sunan al-Nasa’i kerana pengarang karya ini tidak meriwayatkan hadis sahih saja.

 

Justeru, menjadi kewajipan pengkaji hadis membuat penelitian sanad dan menghukum hadis dalam karya itu. Selain itu, hukum sesuatu hadis sama ada sahih atau daif (lemah) mempunyai pertalian yang rapat dengan perawi sanad.

 

Perlu diingatkan sesuatu hadis yang sanadnya dinilai sebagai daif tidak bermakna matan (teks) hadis itu juga daif. Kita jangan terlalu pantas menghukum sesuatu hadis itu sahih kerana semua perawi sanadnya sahih.

 

Daif sanad tidak bererti matannya juga daif. Hadis yang sanadnya daif boleh menjadi sahih dengan kewujudan sanad lain bagi matan itu. Begitu juga sanad sahih tidak bermakna hadis juga sahih kerana mungkin terdapat syadh (keganjilan) atau ‘illat dalam matan.

 

Satu aspek yang sering diperhatikan dalam kalangan pelajar dan pencinta hadis yang memberi hukum hadis berdasarkan pandangan seorang penulis karya biodata rawi.

 

Contohnya, oleh kerana perawi disebut daif dalam satu karya perawi, maka ia dianggap daif dan hadisnya ditolak. Kita perlu berhati-hati dan jangan lekas menghukum.

 

Al-Laknawi menjelaskan: “Wajib ke atas kamu untuk tidak tergesa-gesa menghukum jarh terhadap seorang perawi hanya semata-mata kerana penilaian sebahagian pengkritik sanad, melainkan engkau mesti meneliti kebenaran hal itu. Masalah ini amat penting dan banyak justifikasinya.

 

“Kamu tidak berhak menerima penilaian seluruh orang yang mengkritik terhadap perawi yang mana pun. Kerap kali terdapat suatu hal yang menghalang diterima suatu kritikan, antaranya pengkritik itu sendiri kadang-kadang seorang yang dikritik. Oleh yang demikian, penilaian pengkritik sanad tidak boleh diterima begitu saja sehingga terdapat penilaian yang sama daripada orang lain.”

 

Oleh kerana kelainan persepsi pengkritik sanad membicarakan seseorang perawi, pengkaji perawi hadis dianjur cermat dan tidak melulu menghukum seseorang perawi sebagai daif dengan hanya berpandukan kepada penilaian sesetengah ahli pengkritik sanad.

 

Artikel penuh ini disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 24 Ogos 2011 (Rabu) dan boleh dibaca di edisi onlinenya. Artikelku lain dalam Berita Harian : MLM ikut syariah bukan taja downline Pelaburan internet dibenarkan selagi patuhi syarak Keupayaan berdakwah secara maya masih terhad Artikel-artikelku dalam Utusan di sini.
 

“Islam adalah suatu sistem universal yang lengkap dan mencakup seluruh aspek hidup dan kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air, pemerintahan dan rakyat, akhlak dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan peradilan, material dan sumber daya alam, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan pemikiran, sebagaimana Islam adalah aqidah yang lurus dan ibadah yang benar, tidak kurang dan tidak lebih”. - Hasan al-Banna

Apakah Islam?
loader

Bacalah al-Qur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

 

Latest Article