Wednesday 24 Jan 2018
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
  • default style
  • blue style
  • red style
  • yellow style
Artikelku dalam Utusan: Hayati Madrasah Ramadan PDF Print E-mail

Hayati Madrasah Ramadan

Oleh : Najahudin Lateh

Ramadan kembali lagi. Seperti nikmat Allah SWT yang tidak pernah berkurang, begitulah Ramadan yang sentiasa dilimpahi rahmat kepada mereka yang mencarinya. Sabda Rasulullah SAW, “Apabila tiba Ramadan, pintu-pintu rahmat akan dibuka.” (Riwayat Muslim)

Kehadiran bulan ini sentiasa dinanti-nantikan oleh jiwa-jiwa beriman yang kasih dan mengharapkan pengampunan Allah SWT. Firman-Nya, “Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah : 183).

 

 

 

Objektif akhir insan yang berpuasa adalah untuk mencapai tahap ketakwaan dan keredaan Allah SWT. Untuk mencapai tahap takwa ini, kita akan berhadapan dengan pelbagai tugasan, peraturan dan ujikaji sikap sepanjang sebulan ini.

 

Justeru, sekolah atau madrasah Ramadan perlulah dihayati dan dipenuhi dengan pelbagai amanah kerja yang diminta oleh Allah SWT dan diajar oleh Rasulullah SAW. Tanpa pendaftaran atau yuran, bulan tarbiyah dan pendidikan ini menjanjikan kelebihan dan kemenangan kepada hamba-Nya yang bertakwa. Benarlah janji Allah SWT, “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan.” (Surah al-Naba’ : 31)

 

Takwa secara ringkas maksudnya melakukan suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Maksud ini diimplimentasikan dalam arahan berpuasa yang hakikatnya bukanlah setakat menahan diri daripada makan minum, namun lebih besar lagi adalah meninggalkan segala larangan seperti menipu, mengumpat, bertelingkah, boros berbelanja, membazir, makan harta riba, berjudi dan sebagainya.

 

Malah, madrasah Ramadan mengajar kita supaya sentiasa melakukan kebaikan kerana pahalanya adalah berlipat kali ganda. Oleh itu, amalan tadarus al-Quran, qiamullail, solat berjamaah, tarawih, tazkirah, bersedekah, memberi makan orang yang berpuasa, memberi makan anak yatim dan sebagainya hendaklah menjadi menu kita sehari-harian dalam bulan berkat ini.

 

Mereka yang menghidupkan amalan Ramadan dijanjikan dengan rahmat tanpa batasan dan diluaskan pintu keampunan. Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang mendirikan (menghidupkan) Ramadhan dengan keimanan dan mengharap (keampunan), maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Walaupun pelbagai ganjaran yang boleh direbut dalam Ramadan, namun terdapat di kalangan umat Islam di negara kita yang telah mengkurus-keringkan pahala mereka. Ini akibat daripada salah faham dan kesilapan tradisi dalam melakukan ibadah puasa Ramadan. Antaranya salah faham dan kesilapan tersebut adalah seperti berikut :

? Berpuasa dan pada masa yang sama tidak melakukan ibadat wajib lain seperti solat, mengeluarkan zakat dan sebagainya;

? Malas bangun bersahur ataupun telah makan kenyang sebelum tidur sedangkan objektif amalan bersahur adalah untuk beribadat dan bukannya bertujuan memenuhkan perut dengan makanan. Rasulullah SAW bersabda, “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim);

? Menjadikan Ramadan sebagai pesta makanan dengan mengikut hawa nafsu membeli perbagai juadah untuk berbuka, sedangkan bulan ini adalah madrasah untuk mendidik kita menyelami kesusahan orang miskin dan meraikan mereka;

? Berbuka puasa dengan tidak mengikut sunnah seperti hidangan berlebih-lebihan dan lebih buruk lagi didahului atau disusuli dengan menghisap rokok;

? Datang menunaikan solat Isya’ dan Tarawih seorang diri tanpa membawa anak-anak bersama atau datang ke surau atau masjid membawa isteri, tetapi tidak menasihatinya supaya menjaga aurat di tempat awam;

? Boleh menunaikan solat sunat Tarawih secara berjamaah, tetapi tidak boleh menunaikan solat lain terutama solat wajib seperti Maghrib atau Subuh;

? Memperuntukkan harta kepada amalan sunat seperti bersedekah dan memberi makan kepada orang yang berpuasa, tetapi masih melibatkan harta dan wang dengan amalan riba, penyelewengan dan rasuah;

 

Perkara yang disebutkan di atas hanyalah beberapa peringatan kepada kita untuk memastikan ibadat puasa kita diterima sepenuhnya oleh Allah SWT. Kadang-kadang, kita lebih mementingkan perkara-perkara kecil, sedangkan perkara yang lebih besar tidak diberi perhatian.

 

Sebagai contohnya, sudah wujud tradisi dalam masyarakat kita yang terikut-ikut budaya bergaduh atau bertengkar sama ada nak solat Tarawikh lapan rakaat atau 20 rakaat. Hakikatnya, solat tersebut adalah sunat bukannya wajib. Kedua-duanya adalah sunnah Nabi dan juga para Khulafa’ al-Rasyidin yang dimulakan oleh Umar al-Khattab RA. Sepatutnya, perkara ini tidak menjadi isu. Malah, jangan terkejut khalifah Umar Abdul Aziz RA pernah menguat kuasakan solat tarawikh sebanyak 36 rakaat dan tiga kali witir.

 

Apa yang penting adalah amalan tersebut disertai dengan niat yang ikhlas. Dua rakaat yang ikhlas lebih mulia daripada 100 rakaat yang ujub. Pertelingkahan dalam perkara-perkara kecil dan sunat hendaklah dielakkan kerana menjaga hubungan silaturahim sesama Muslim dalam perkara sebegini adalah wajib.

 

Justeru, sepanjang madrasah Ramadan ini kita hendaklah mengawasi pancaindera dengan melakukan perkara-perkara berikut bagi memenuhi tuntutan sebenar ibadat puasa :

? Menjaga lidah daripada bercakap kosong,  mengumpat, memburuk-burukkan orang lain dan sebaiknya hendaklah dibasahi dengan berzikir atau bertadarus al-Quran;

? Menjaga mata daripada melihat perkara yang diharam dan melalaikan kita daripada mengingati Allah SWT;

? Menjaga telinga daripada mendengar lagu-lagu dan perbualan yang tidak berfaedah dan sebaiknya digunakan untuk mendengar bacaan al-Quran.

? Menjaga anggota-anggota tubuh lain seperti perut, kaki, tangan dan sebagainya. Perut semasa bersahur dan berbuka puasa hendaklah diisi dengan makan halal, baik dan mengikut sunnah. Kaki dan tangan hendaklah digunakan untuk berzikir, solat, dan melangkah ke surau atau masjid.

 

Dengan pengawasan dan amalan baik, insya Allah Ramadan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita sebelum dijemput ke alam barzakh. Alangkah indahnya jika kita berjaya menghabiskan tempoh latihan di madrasah Ramadan ini dengan memperolehi ijazah takwa yang dijanjikan itu. Beruntunglah kita di dunia dan berbahagialah kita di akhirat. Ingatlah perkhabaran Rasulullah SAW, “Orang berpuasa memiliki dua kegembiraan yang dia bergembira dengannya, iaitu kegembiraan  apabila berbuka, dan apabila bertemu Tuhannya dia bergembira dengan puasanya.” (Riwayat al-Bukhari)

 

Artikel ini dikeluarkan dalam akhbat Utusan Malaysia, 4 Ogos 2011 (Khamis) dan sebahagian artikel ini boleh dibaca di edisi onlinenya.
 

“Islam adalah suatu sistem universal yang lengkap dan mencakup seluruh aspek hidup dan kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air, pemerintahan dan rakyat, akhlak dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan peradilan, material dan sumber daya alam, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan pemikiran, sebagaimana Islam adalah aqidah yang lurus dan ibadah yang benar, tidak kurang dan tidak lebih”. - Hasan al-Banna

Apakah Islam?
loader

Bacalah al-Qur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

 

Latest Article