Saturday 24 Feb 2018
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
  • default style
  • blue style
  • red style
  • yellow style
Artikelku dalam Utusan : Awasi Riba dalam Pembelian Emas PDF Print E-mail

Awasi Riba dalam Pembelian Emas

Oleh : Najahudin Lateh

Akhir-akhir ini timbul keghairahan di kalangan umat Islam dalam negara kita untuk membeli dan melabur dalam emas sama ada dalam bentuk siling, jongkong dan sebagainya. Situasi ini menyebabkan kadang-kadang wujud di kalangan mereka yang lupa batas-batas syariah berkaitan pembeliannya, terutama terjebak dengan amalan riba yang diharam dan dikutuk dalam Islam.

Malah Allah SWT mengisytiharkan perang ke atas pelaku riba. Ini terkandung dalam penegasan-Nya dalam firman : “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya.” (Al-Baqarah’ : 278-279). Secara umum, riba adalah sebarang pertambahan dalam transaksi sesuatu barangan riba atau tambahan ke atas hutang disebabkan tempoh pembayaran yang lewat.

Emas selaku komoditi bernilai merupakan salah satu barangan berunsurkan riba (ribawi) yang disebutkan dalam hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin al-Samit : “Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, perlu sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika asnaf-asnaf ini berbeza, juallah seperti mana kamu kehendaki selagi ia serahan segera (tidak bertangguh).” (Riwayat Muslim)

Hadith ini menyenaraikan kategori barangan ribawi yang terbahagi kepada dua, iaitu matawang seperti emas, perak, ringgit, dollar dan sebagainya serta makanan asasi seperti padi, gandum, barli, tamar dan garam.

Kedua-dua kategori ini mempunyai syarat-syarat tertentu dalam sebarang transaksi supaya tidak berlaku riba iaitu seperti berikut :

(i) Syarat transaksi barangan ribawi yang sama kategori, seperti pembelian emas dengan menggunakan emas atau pertukaran padi dengan padi padi:

(a) Kedua-dua barangan tukaran itu mestilah sama berat timbangannya;

(b) Kontrak jual-beli mestilah tunai serta-merta tanpa sebarang tempoh penangguhan; dan

(c) Serahan dan penerimaan barang mestilah berlaku dalam majlis akad.

(ii) Syarat transaksi barangan ribawi yang sama kategori tetapi jenis yang berlainan, seperti pembelian emas dengan menggunakan matawang ringgit atau pertukaran sistem barter padi dengan menggunakan gandum :

(a) Kontrak jual-beli mestilah tunai serta-merta tanpa sebarang tempoh penangguhan; dan

(b) Serahan dan penerimaan barang mestilah berlaku dalam majlis akad.

Walaupun begitu, syarat ini tidak terpakai dalam transaksi barangan ribawi yang berlainan kategori dan jenis, seperti membeli padi dengan menggunakan emas atau transaksi barangan ribawi dengan barangan bukan ribawi seperti boleh membeli kereta dengan menggunakan emas atau matawang lain.

Transaksi pembelian emas dalam masyarakat kontemporari melibatkan pertukaran emas dengan matawang lain. Menurut muamalat Islam, transaksi pembelian atau pertukaran matawang dengan matawang seperti membeli emas dengan wang ringgit adalah termasuk dalam kontrak al-Sarf (Money Changer).

Justeru, pembelian emas mestilah mematuhi syarat kontrak tersebut, iaitu mestilah tunai serta-merta tanpa ditangguh atau diberi tempoh dan syarat serahan serta penerimaan barangan emas mestilah berlaku semasa akad pembelian sebelum berpisah.

Umat Islam terutamanya peminat, pembeli dan pelabur emas hendaklah mengawasi transaksi mereka supaya selari syarat tersebut dan terhindar daripada riba. Perkara-perkara berikut hendaklah diberi perhatian dalam urusniaga mereka :

(i) Pembelian emas adalah bermaksud mempunyai pemilikan terhadap emas yang dibelinya. Oleh itu, haram kita membeli emas jika tidak mempunyai kebebasan dan kuasa untuk melakukan transaksi lain seperti tidak boleh menjualnya semula dalam tempoh-tempoh tertentu.

(ii) Haram membeli emas secara hutang atau secara tangguh dengan membayarnya secara ansuran walaupun terdapat pendangan minoriti yang memberi pengecualian pada emas yang telah diubah menjadi barangan seperti cincin dan gelang.

(iii) Menjauhi pembelian emas dengan menggunakan kad kredit kerana terdapat unsur syubhat lebih-lebih lagi dengan kewujudan resolusi terbaru Kesatuan Fiqh Islam Sedunia yang mengharamkannya. Begitu juga, haram secara mutlak jika tidak membuat bayaran kad kredit atas pembelian tersebut hingga dikenakan riba oleh pihak pengeluar kad kredit.

(iv) Tidak melakukan trade-in emas lama yang dimiliki dengan emas baru. Ini boleh membawa kepada riba kerana hukum tukaran emas dengan emas mensyaratkan timbangan kedua-dua tukaran tersebut adalah sama dan diserahkan serta-merta semasa pertukaran tersebut tanpa sebarang tangguhan masa. Untuk mengelakkan riba ini berlaku, orang yang ingin trade-in hendaklah menjualkan emas lamanya terlebih dahulu. Setelah mendapat wang jualan, barulah ia membeli emas baru tersebut.

Oleh itu, kita semua perlulah mengawasi perkara ini demi mengelak diri daripada terkena najis riba yang kemudiannya akan terkena bakaran api neraka serta dilaknat Allah SWT. Ingatlah amaran Rasulullah SAW : “Allah melaknat orang yang memberi dan menerima riba.” (Riwayat Muslim)

 

Najahudin Lateh

Pensyarah

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

*Artikel ini disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia 19/05/2011

 

“Islam adalah suatu sistem universal yang lengkap dan mencakup seluruh aspek hidup dan kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air, pemerintahan dan rakyat, akhlak dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan peradilan, material dan sumber daya alam, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan pemikiran, sebagaimana Islam adalah aqidah yang lurus dan ibadah yang benar, tidak kurang dan tidak lebih”. - Hasan al-Banna

Apakah Islam?
loader

Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

 

 

Latest Article