Wednesday 24 Jan 2018
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
  • default style
  • blue style
  • red style
  • yellow style
Transkrip Wawancara Radio UiTM - Cari Duit Melalui Internet PDF Print E-mail

Transkrip temubual bersama Ustaz Najahudin Lateh, Pensyarah Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam dengan Radio UiTM dalam slot 'CITU ON AIR' yang bertajuk 'Sistem Ekonomi Islam - Cari Duit Melalui Internet' pada 27 Julai 2010 jam 11.00 pagi.

Tajuk : CARI DUIT MELALUI INTERNET
Penyampai : Ustaz Najahudin Lateh

1.    Sebagai soalan permulaan, boleh ustaz sebutkan secara ringkas pandangan Islam tentang internet dan penggunaannya?

Islam adalah ad-din yang syumul, sesuai untuk semua masa, tempat dan zaman. Firman Allah SWT :
?????????? ?????????? ?????? ????????? ???????????? ?????????? ????????? ????????? ?????? ??????????? ?????? ?
“Pada hari Ini Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan Aku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan Aku redha Islam itu jadi agama bagimu.” [Surah al-Maidah : 3]

Islam meraikan kemajuan. Islam juga meraikan sains dan teknologi. Oleh itu, bila muncul internet sebagai medium penting dalam teknologi maklumat, Islam sangat meraikannya. Islam mengizinkan umatnya mengguna pakai internet dalam kehidupan seperti mana Islam mengizinkan apa-apa teknologi baru lain yang bermanfaat.

Walaupun begitu, Islam ada garis panduannya. Sesuatu teknologi yang baik akan diterima. Begitu juga sebaliknya, sesuatu yang menyalahi syarak, ia tetap tidak dibenarkan. Dalam ilmu perubatan contohnya, kita diizinkan melakukan pengklonan, namun pengklonan terhadap manusia tidak dibenarkan. Kita diizinkan memakan buah anggur, namun anggur yang telah diproses menjadi arak tidak dibenarkan.

Begitu juga dengan internet. Di dalamnya banyak manfaat kepada Islam, namun pada masa yang sama terdapat perkara-perkara yang tidak bermanfaat dan diharamkan. Justeru, terpulanglah kepada umat Islam untuk menggunakannya mengikut lunas yang dibenarkan oleh Islam dan undang-undang negara.

2.    Boleh ustaz jelaskan bagaimana pula jika internet ini digunakan sebagai medium untuk menjana kekayaan oleh orang Islam?

Seperti yang saya sebutkan tadi, Islam agama fleksibel yang memberi kebebasan kepada penganutnya mengikut lunas yang disyariatkan. Begitu juga dalam proses mencari kekayaan. Kita boleh mencari kekayaan melalui cara konvensional dengan bertemu pelanggan. Begitu juga kita boleh mencari kekayaan melalui internet tanpa perlu bertemu pelanggan. Islam membenarkan semunya dengan syarat mengikut sistem muamalat Islam. Kontrak (akad) mesti betul. Semua syarat dalam urusniaga mencari kekayaan mesti dipenuhi.

Kaedah feqah ada menyebut, “Hukum asal dalam semua perkara adalah harus, kecuali terdapat dalil yang menunjukkan haram.” Jelasnya, hukum mencari kekayaan melalui internet adalah harus, kecuali terdapat unsur-unsur dalam transaksinya menyalahi syarak yang menyebabkan ia menjadi haram.

Sebagai contohnya, ada orang yang mencari kekayaan melalui pelaburan internet. Asasnya, ia dibenarkan jika memenuhi kontrak pelaburan atau mudharabah serta syarat-syarat sahnya. Namun, jika pelaburan tersebut menjanjikan keuntungan atau pulangan yang pasti dan dalam jumlah yang tetap, ia adalah dilarang sama sekali. Begitu juga haram membuat pelaburan dalam modal yang melibatkan barang haram atau perjudian.


3.    Jadi bagaimanakah bentuk proses mencari duit di internet yang dibenarkan dalam Islam?

Sebelum saya menjawab soalan tersebut, kita perlu mengetahui terdapat pelbagai cara untuk mencari duit melalui internet. Secara mudah, terdapat tiga cara untuk mencari duit di internet, iaitu (i) melalui perniagaan internet, (ii) melalui program internet, dan (iii) melalui pelaburan internet.

Ketiga-tiganya seperti yang saya sebutkan tadi, tidak halal secara mutlak dan tidak haram secara mutlak. Namun, transaksi dalam internet menunjukkan kebiasaannya cara (i) perniagaan internet yang memenuhi syarat adalah halal, cara (ii) program internet, ada yang halal dan ada yang haram, sementara cara (iii) pelaburan internet kebanyakkannya adalah haram.

Untuk lebih jelas kepada soalan tadi, saya suka menjelaskan beberapa bentuk urusniaga yang halal berserta contoh-contohnya dalam cara (i), iaitu dalam perniagaan internet.

(i)    Perniagaan Internet
Secara asasnya, perniagaan internet adalah proses jual beli barang atau mengambil upah dalam internet. Perniagaan ini sebenarnya seperti perniagaan konvensional. Cuma berbeza kerana transaksi perniagaan internet berlaku secara maya. Hakikatnya, ia masih sama kerana berlaku pertukaran barang ataupun berlaku proses al-Bai (jual-beli). Begitu juga masih berlaku proses memberi dan mengambil upah perkhidmatan. Ini berlaku apabila ada sesuatu produk atau perkhidmatan yang dijual atau diupah oleh satu pihak dan dibeli atau diupah oleh suatu pihak yang lain.

Biasanya, barang yang dijual adalah dalam bentuk produk atau dalam bentuk perkhidmatan. Produk internet terbahagi kepada dua, produk digital dan produk fizikal. Contoh produk digital yang biasa dijual beli di internet adalah e-book (buku elektronik), web hosting, gambar grafik, audio kuliah, video ceramah, tutorial dan sebagainya. Produk fizikal pula adalah seperti menjual CD media, produk kesihatan, buku dan sebagainya.

Satu lagi bentuk perniagaan internet adalah dalam bentuk perkhidmatan. Contohnya, perkhidmatan mengambil upah membina laman web, meletak iklan, mereka bentuk grafik, menaip atau menterjemah sesuatu tulisan. Semua contoh-contoh yang saya sebutkan tadi adalah halal dan sah transaksinya jika memenuhi syarat yang ditetapkan syarak dalam setiap akad urusniaga itu.


4.    Ustaz sebutkan cara mencari duit melalui perniagaan internet adalah sah jika memenuhi syarat-syaratnya. Boleh ustaz jelaskan dengan lebih lanjut syarat sah itu.

Perniagaan internet yang saya sebutkan tadi biasanya menggunakan kontrak jual beli (al-Bay) atau upah (ujrah). Kontrak ini diharuskan dalam muamalat Islam. Walaupun begitu, setiap kontrak mesti memenuhi semua rukun dan syarat-syaratnya.

Sebagai contoh, dalam kontrak jual beli mesti terdapat rukun-rukunnya, iaitu penjual, pembeli, barang, bayaran dan akad. Setiap rukun tersebut mempunyai syarat sahnya. Contohnya, penjual mesti memiliki atau boleh mewujudkan barangan tersebut dan boleh menyerahkannya kepada pembeli. Begitu juga antara syarat sah barang jualan mestilah sesuatu yang halal dan bukan mempunyai unsur lucah atau judi.

Dalam jual beli internet, suatu perkara penting adalah penjual perlu memberikan maklumat berkaitan barang dengan lengkap seperti bentuk, kualiti, kuantiti dan sebagainya. Sementara itu, akad yang dilakukan di internet memadai dengan menggunakan butang persetujuan seperti butang ‘submit’ dalam borang pesanan. Justeru, jika semua syarat ini dipenuhi, sahlah urusniaga jual beli dalam internet tersebut.


5.    Ustaz sebutkan tadi cara mencari duit melalui program internet ada yang haram dan cara mencari duit melalui pelaburan internet kebanyakkannya haram. Boleh ustaz jelaskan sebab pengharaman tersebut.


Sebelum menjawab persoalan pelaburan internet yang bersifat haram, suka saya jelaskan cara mencari duit yang (ii) iaitu melalui program internet, terdapat yang halal dan ada yang haram. Program ini begitu popular kepada pencari duit di internet.

(ii)    Program Internet
Program internet maksudnya suatu sistem automatik maya yang dianjurkan oleh pihak tertentu untuk memberi pulangan wang kepada pihak lain. Program ini juga ada yang halal dan ada yang haram. Halal dan haram bergantung kepada jenis kontrak serta bentuk program tersebut. Secara umum, program internet terbahagi kepada beberapa jenis, antara tiga yang popular adalah (a) program affiliate, (b) program pengiklanan dan (c) program piramid.

(a)    Program Affiliate
Program ini bermaksud pemilik laman web perniagaan yang melantik agen promosi alamat laman web perniagaan tersebut. Ini bererti mereka yang menyertainya akan diberikan alamat url affiliate ID tersendiri dan bertanggung jawab mempromosikan. Jika terdapat pembeli yang klik ke url tersebut dan kemudian membeli sesuatu di laman web perniagaan, pemiliknya akan memberi komisyen kepada peserta tersebut.

Program ini pada asasnya halal kerana menggunakan akad ujrah (upah). Namun, ia bergantung kepada kandungan dan produk laman web yang disertai sama ada halal atau haram.


(b)    Program Pengiklanan
Program ini bermaksud pihak penganjur akan memberi upah kepada peserta yang menyertainya dan menyediakan ruang di laman web mereka untuk iklan daripada penganjur. Justeru, penganjur akan menjadi orang tengah yang menyalurkan iklan pembeli iklan ke dalam laman web peserta. Oleh itu, peserta akan dibayar, sama ada mengikut bilangan klik atau bilangan paparan oleh pelawat laman webnya. Antara contoh program ini yang popular adalah Google Adsense, Nuffnang dan Text-Links-Ads.

Program ini juga halal seperti program affiliate, kecuali terdapat sebab mengharamkannya seperti iklan yang disertai mengandungi kandungan lucah atau haram dan tidak disalahguna seperti diklik sendiri oleh peserta.


(c)    Program Randomizer
Program ini merupakan mesin penjana wang automatik melalui pemberian wang oleh peserta kepada beberapa pihak sebagai bayaran keahlian dan kemudian peserta tersebut perlu mencari peserta baru yang kemudiannya akan melakukan perkara yang sama. Biasanya, pihak yang menerima bayaran terbahagi kepada tiga, (i) pemilik laman web (penganjur), (ii) ahli yang mempekenalkan peserta dan (iii) mana-mana ahli yang dipilih secara rawak oleh sistem program. Program ini haram disertai kerana hanya bertujuan mengkayakan penganjur dan menjadikan peserta bergantung kepada nasib dengan menunggu giliran untuk mendapat bayaran.


(d)    Program Piramid Forced Matrix
Program ini merupakan skim piramid secara automatik dan mempunyai level tertentu yang mengendaki peserta membayar sejumlah wang sebagai bayaran keahlian. Bayaran tersebut kemudiannya diagih oleh penganjur kepada setiap level orang yang memperkenalkan peserta tersebut. Seterusnya peserta baru tersebut perlu pula mencari beberapa orang untuk diisi pada level-level piramid di bawahnya yang akan dimasukkan secara automatik. Program ini seiras skim cepat kaya dan haram disertai kerana bergantung kepada nasib semata-mata, malah hanya orang yang berada pada level teratas yang terus menjadi kaya.


Berbalik kepada soalan tentang pelaburan internet yang kebanyakannya adalah haram.

(iii)    Pelaburan Internet
Kita perlu mengetahui pada 12 April 2007, Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan suatu pelaburan internet yang bernama Swisscash adalah haram. Begitu juga haram menyertai apa-apa bentuk pelaburan internet yang beroperasi seperti pelaburan tersebut. Secara umum, pelaburan sebegini merupakan skim cepat kaya alaf baru. Modus operandinya mudah, letak duit melalui online, goyang kaki, lepas tu duit akan ‘membesar’ dengan segera dan ‘beranak-pinak’ dalam akaun bank peserta.

Pelaburan internet sebegini biasanya tidak mempunyai nama pemilik, tiada alamat atau alamat tidak benar, tidak mempunyai lesen, tidak berdaftar dengan kerajaan, tetapi berani mengambil deposit daripada orang ramai selaku peserta secara haram. Ramai orang menyangka mereka akan kaya setelah menerima bayaran pertama dalam akaun. Namun, mereka tidak terfikir mereka akan papa kedana jika bayaran seterusnya tidak diberikan atau lebih malang jika laman web itu sendiri ditutup atau tidak beroperasi. Ketika itu, mulalah tepuk dahi kerana kepada siapa perlu diadukan. Alamat pejabat tidak diketahui. Penganjur pula tidak dikenali.

Pelaburan internet sebegini haram kerana berbentuk perjudian dan lebih mengharapkan kepada nasib untuk mencari rezeki. Hanya goyang kaki tanpa ada sebarang usaha. Malah, ia bertentangan dengan konsep pelaburan dalam Islam yang terbuka kepada konsep untung dan rugi.

Walaupun begitu, tidak semua pelaburan internet ini haram. Ada juga yang halal, mempunyai lesen serta memenuhi piawai syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara. Malah, kini terdapat beberapa institusi kewangan sah yang menyediakan kemudahan pelaburan melalui laman web masing-masing. Justeru, kita mempunyai hak untuk memilih pelaburan halal yang disediakan.


6.    Ustaz sebutkan urusniaga internet ada yang halal dan ada yang haram. Apakah asas perbezaan kepada kewujudan hukum halal haram ini?


Saya telah sebutkan pada awal tadi, muamalat atau urusniaga adalah harus dalam Islam, kecuali terdapat unsur-unsur yang menjadikannya haram dan menyalahi syarak. Antara unsur atau elemen yang menjadi asas perbezaan kepada wujudnya hukum halal atau haram dalam urusniaga internet terdapat dalam tiga perkara, iaitu (i) Riba, (ii) Gharar atau ketidakpastian, dan (iii) Judi.

(i)    Riba
Riba maksudnya tambahan dalam barangan tertentu atau tambahan ke atas hutang kerana bertangguh tempoh pembayaran. Riba jelas haram dengan amaran Allah SWT dalam firmanNya :

????????? ??????????? ???????????? ?? ?????????? ???? ????? ??????? ??????? ???????????? ???????????? ???? ????????? ? ??????? ?????????? ????????? ??????? ?????????? ?????? ???????????? ? •??????? ???? ?????????? ???????? ???????????? ?

“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” [Surah al-Baqarah : 275]

Dalam urusniaga internet, riba boleh berlaku dalam beberapa keadaan. Sebagai contoh, dalam jual-beli produk melalui internet, jika si pembeli membayar dengan menggunakan kad kredit konvensional, ia terdedah kepada riba. Ini berlaku jika si pembeli tidak membayar hutang kepada pengeluar kad tersebut dalam tempoh yang ditetapkan kerana ia akan dikenakan faedah atau riba.

Begitu juga riba yang diharamkan akan wujud jika jual-beli di internet melibatkan emas, perak atau mata wang. Ini kerana barangan tersebut yang dikenali sebagai barangan ribawi disyaratkan mesti diserah dan diterima ‘on the spot’ atau pada satu masa (yadan bi yadin). Jika ia tidak dapat diserahkan pada masa itu juga seperti pada kebanyakkan transaksi dalam internet, ia adalah riba.

(ii)    Gharar atau ketidakpastian
Gharar atau ketidakpastian dalam sesuatu transaksi suatu yang dilarang oleh Rasulullah SAW dalam hadith :
“Nabi SAW melarang berjual beli secara gharar.” [Riwayat Muslim, 5/3]

Antara contoh gharar dalam transaksi internet adalah seperti maklumat produk jualan yang kabur seperti tidak diketahui bentuk, jenis, berat, kuantiti dan sebagainya. Dalam pelaburan internet, gharar berlaku apabila pelabur tidak mengetahui secara jelas terma perjanjian termasuk pembahagian untung rugi, bidang pelaburan dan sebagainya. Malah, gharar juga wujud apabila skim cepat kaya menjanjikan jaminan keuntungan dan pulangan yang pasti tanpa perlu melakukan sebarang usaha atau menghadapi sebarang risiko.

(iii)    Judi
Transaksi dalam internet juga haram jika melibatkan unsur perjudian. Sebagai contohnya, dalam program piramid dan pelaburan internet, peserta akan meletakkan sejumlah wang untuk mendapat wang segera yang lebih besar jumlahnya. Ini jelas suatu pertaruhan atau judi yang diharamkan.

7.    Pada pandangan ustaz, bagaimanakah masyarakat kita di Malaysia hendak mengenal pasti sesuatu  urusniaga internet itu dibenarkan atau tidak kepada orang Islam?

Pertamanya, saya mensyorkan semua pelayan internet supaya berhati-hati sebelum melakukan sebarang transaksi dalam urusniaga internet. Kita perlu menyelidik dahulu kesahan sesuatu urusniaga tersebut sama ada memenuhi syarat dalam muamalat Islam atau tidak. Bagitu juga penelitian perlu dilakukan terhadap laman web berkaitan. Kita perlu mengetahui siapa pemiliknya, di mana alamat perniagaannya, apa nombor telefonnya dan sebagainya.

Dalam pelaburan internet sebagai khusus, kita perlu menyemak kesahihan pihak penganjur, adakah mereka mendapat lesen menjalankan transaksi kewangan atau tidak. Bagi orang awam, saya mensyorkan mereka bertanya kepada mereka yang pakar atau sentiasa merujuk kepada pihak-pihak berautoriti dalam urusniaga seperti ini seperti Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara. Paling mudah, mereka boleh menyemak senarai pelaburan yang diizinkan dan senarai pelaburan, termasuk pelaburan internet yang tidak dibenarkan melalui laman web Suruhanjaya Sekuriti sendiri di alamat www.sc.com.my.

8.    Sebagai soalan terakhir, apakah nasihat ustaz kepada mereka yang mahu terlibat mencari duit melalui internet.

Saya tidak mensyor atau melarang sesiapa untuk terlibat mencari duit melalui internet. Cuma pesan saya, berhati-hatilah dalam urusniaga tersebut. Internet adalah medium yang baik dan memang sah kontrak dengannya. Itu tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalah adalah kandungan, bentuk, terma serta syarat urusniaga. Jika dipenuhi segala prasyaratnya, sahlah urusniaga itu. Begitu juga sebaliknya.

Justeru, saya menyeru kepada kita semua supaya terus mencari ilmu pengetahuan berkaitan muamalat Islam, termasuklah urusniaga melalui internet. Berbahagialah mereka yang berilmu. Berbahagialah mereka yang ditinggikan darjatnya. Firman Allah SWT :
???????? ???? ????????? ?????????? ??????? ??????????? ???????? ?????????? ????????? ?
“Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan.” [Surah al-Mujadalah : 11]


 

 

“Islam adalah suatu sistem universal yang lengkap dan mencakup seluruh aspek hidup dan kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air, pemerintahan dan rakyat, akhlak dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan peradilan, material dan sumber daya alam, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan pemikiran, sebagaimana Islam adalah aqidah yang lurus dan ibadah yang benar, tidak kurang dan tidak lebih”. - Hasan al-Banna

Apakah Islam?
loader

Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

 

Latest Article