Wednesday 24 Jan 2018
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
  • default style
  • blue style
  • red style
  • yellow style
Dakwah Online dan Kajian Awal ke Arah Ensiklopedia Domainnya dalam Bahasa Melayu PDF Print E-mail

Oleh : Najahudin Lateh ( This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it ) [Kertas ini dibentangkan di Seminar Pemantapan Dakwah Cabaran & Prospek pada 21 hingga 22 Julai 2009 bertempat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, Samarahan]

Dakwah online melalui internet merupakan suatu medium baru yang sangat berkesan. Tugasan dakwahnya dijalankan selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun. Banyak kelebihan lain yang boleh dimanfaatkan terutamanya untuk menarik perhatian golongan sasar seperti orang muda dan masyarakat dunia. Aplikasi internet seperti laman web, portal, blog, email, SMS internet, borak siber dan sebagainya boleh digunakan untuk berdakwah di samping menangkis anasir buruk yang disasarkan kepada Islam. Kewujudan domain dakwah dalam aplikasi ini oleh para tekno-dai’e secara langsung dapat menyebarkan Islam seantero dunia. Tulisan ini akan memfokuskan kepada dakwah online dengan melihat kepada bentuk dan aplikasi yang boleh dimanfaatkan oleh pendakwah dan pelayar internet. Di samping itu, tulisan ini juga menyenaraikan seberapa banyak domain dakwah dalam bahasa Melayu yang wujud di alam maya. Adalah diharapkan koleksi yang dipaparkan boleh dijadikan catatan awal ke arah kewujudan ensiklopedia domain dakwah untuk dimanfaatkan oleh semua.


Dakwah Online dan Kajian Awal ke Arah Ensiklopedia Domainnya dalam Bahasa Melayu

Oleh :
Najahudin Lateh ( This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it )
Kertas ini dibentangkan di Seminar Pemantapan Dakwah Cabaran & Prospek pada 21 hingga 22 Julai 2009 bertempat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, Samarahan.

Abstrak

Dakwah online melalui internet merupakan suatu medium baru yang sangat berkesan. Tugasan dakwahnya dijalankan selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun. Banyak kelebihan lain yang boleh dimanfaatkan terutamanya untuk menarik perhatian golongan sasar seperti orang muda dan masyarakat dunia. Aplikasi internet seperti laman web, portal, blog, email, SMS internet, borak siber dan sebagainya boleh digunakan untuk berdakwah di samping menangkis anasir buruk yang disasarkan kepada Islam. Kewujudan domain dakwah dalam aplikasi ini oleh para tekno-dai’e secara langsung dapat menyebarkan Islam seantero dunia. Tulisan ini akan memfokuskan kepada dakwah online dengan melihat kepada bentuk dan aplikasi yang boleh dimanfaatkan oleh pendakwah dan pelayar internet. Di samping itu, tulisan ini juga menyenaraikan seberapa banyak domain dakwah dalam bahasa Melayu yang wujud di alam maya. Adalah diharapkan koleksi yang dipaparkan boleh dijadikan catatan awal ke arah kewujudan ensiklopedia domain dakwah untuk dimanfaatkan oleh semua.


Pendahuluan

Dakwah adalah usaha menyampai, mengajak atau menyeru manusia mengenali, menerima dan menghayati Islam yang dilaksanakan melalui kaedah, teknik dan pendekatan tertentu. Galakan untuk berdakwah terbuka kepada seluruh umat Islam seperti sabda Rasulullah SAW :
"Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat dan ceritakanlah riwayat daripada Bani Israel dan sesiapa mendustai aku dengan sengaja, disediakan tempat baginya daripada api neraka." (Hadis riwayat al-Bukhari dan al-Tirmidzi)

Begitu juga Islam sebagai agama yang fleksibel tidak menghadkan para pendakwah untuk menggunakan medium tertentu dalam proses dakwah. Malah, mereka digalakkan menggunakan medium terbaik sesuai pada sesuatu zaman dan tempat. Sejak awal Islam, dakwah melalui lisan merupakan medium utama. Apabila mesin cetak berjaya dicipta sekitar kurun ke-15, media cetak pula semakin popular menjadi alat penyampaian teks dakwah kepada audien. Menjelang kurun ke-20, media elektronik pula muncul sebagai medium dakwah yang berpeluang sampai kepada sasaran dakwah yang lebih luas. Bermula dengan radio yang terhad kepada audio, media ini berkembang dengan visual dan grafik yang menarik melalui televisyen dan video.

Menjelang alaf baru ketiga masihi, berlaku suatu letusan teknologi maklumat di seluruh dunia. Suatu sistem komunikasi yang pantas dan global diperkenalkan yang dikenali sebagai internet. Melaluinya, manusia seluruh dunia semakin mengecil seolah-oleh tinggal dalam satu kampung (global village). Serentak dengan kehebatan dunia internet, dunia dakwah juga semakin canggih. Melalui internet, dakwah kini boleh menjangkau ke seluruh dunia dengan mudah. Malah, lebih canggih kerana dalam dilakukan 24 jam sehari secara online (talian terus).


Internet Sebagai Medium Dakwah

Dunia langit terbuka atau globalisasi menyebabkan manusia semakin dekat antara satu sama lain. Begitu juga zaman informasi dan teknologi juga menyebabkan kesibukan manusia juga semakin bertambah. Ini semua mewujudkan kumpulan manusia yang terhad dan kecil masa mereka untuk mendengar persoalan agama di surau, masjid serta lapangan fizikal. Mereka ini lebih santai berada di depan skrin komputer. Justeru, kemunculan laman web, blog atau pelbagai medium online suatu yang dialu-alukan bagi mereka dan semua pelayar internet.

Dakwah online merupakan kaedah dakwah secara tidak langsung, iaitu pendakwah tidak bertemu secara fizikal dengan mad’u. Dakwah ini biasanya berlaku melalui internet (yang dimaksudkan dalam tulisan ini) ataupun komunikasi lain seperti telefon bimbit. Dakwah online tidak mensyaratkan seorang pendakwah tersebut mahir dalam komunikasi atau mempunyai ilmu Islam yang banyak. Malah, sesiapa sahaja boleh menjadi pendakwah. Yang penting dalam dakwah online adalah bahan dakwah bukannya siapa yang menyiarkannya.

Pendakwah online biasanya terdiri daripada dua kumpulan. Penulis memanggilnya dengan nama (i) Pendakwah External, iaitu mereka yang terlibat menyebarkan bahan tentang Islam dalam laman web mereka atau laman web orang lain, dan (ii) Pendakwah Internal, iaitu mereka yang benar-benar mempunyai ciri pendakwah yang terdapat dalam ilmu dakwah Islam dan mereka biasanya mempunyai laman web sendiri dan boleh berinteraksi dengan orang ramai (mad’u).

Peluang dan Cabaran Dakwah di Internet

Dakwah melalui internet diakui mempunyai sasaran yang lebih luas seantero dunia. Internet selaku perpustakaan terbesar dunia sendiri boleh bertindak mencari jawapan kepada persoalan pelayarnya. Informasinya sampai kepada audien dengan lebih pantas dan interaksi dua hala tidak terganggu dengan sifat pemalu atau takut. Ia tidak terbatas kepada ruang dan waktu, tetapi terbuka untuk diakses oleh sesiapa sahaja. Peluang yang disediakan adalah selama 24 jam setiap hari tanpa mengira lokasi atau memilih siapa. Hakikat ini sepatutnya direbut dan digunakan oleh pendakwah kita semaksima mungkin. Malah, kita boleh mengikuti perkembangan dakwah di dunia luar di samping bertukar-tukar pendapat serta pengalaman dengan pendakwah dan ahli ilmu lain.

Walaupun begitu, dakwah maya sebegini juga mempunyai pelbagai cabaran dan hambatan tertentu. Kita perlu mengakui internet sebagai lebuh raya maklumat berakar umbi di dunia Barat. Ia tidak terlepas daripada nilai, falsafah dan gaya hidup mereka di sana. Justeru, proses penyaringan input yang diperolehi perlu dibuat sebelum penyebarannya kepada umum. Kadang-kadang informasi dan bahan yang terdapat dalam internet sebenarnya dihasilkan oleh orientalis, missionari dan musuh Islam untuk mengelirukan dan memecah-pelahkan umat. Justeru, kaedah asas dengan merujuk sumber primer dan sekunder seperti al-Quran, hadith dan karya ulama’ perlu dilakukan. Ini belum dikira hambatan external seperti kemunculan pelbagai fikrah, ideologi, dakyah palsu, sebaran fitnah, gambar atau video pornografi di alam maya tersebut.

Dari aspek pendakwah, sebenarnya kita masih mengalami sindrom takut dan fobia kepada teknologi.  Kebanyakkan tenaga pendakwah kita masih 100 peratus menggunakan kaedah dan medan tradisi seperti ceramah, kuliah dan usrah di masjid serta surau. Kekurangan tenaga ini sedikit sebanyak menjejaskan usaha penyampaian ilmu Islam di internet yang secara realitinya masih dikuasai dengan bahan yang tidak bermanfaat. Ini ditambah dengan kurangnya pendakwah yang boleh menguasai Bahasa Inggeris menyebabkan dakwah kita terpinggir dan masih di kandang sesama kita. Secara oposisi, pakar teknologi dan internet Islam yang ada pula begitu kurang penguasaan ilmu-ilmu Islam. Ini menyebabkan pergerakan dakwah kita dalam dunia internet agak perlahan. Sehingga kini, kita hanya mampu menjadi pengguna internet yang setia, berbanding menjadi pencipta kepada teknologi hardware dan software Islam itu sendiri. Lebih malang, anggapan bahawa dakwah adalah kerja eksklusif ustaz serta ulama’ sahaja dan bukannya setiap individu Muslim masih wujud di sanubari umat Islam.

Aplikasi dan Bentuk Dakwah Online

Terdapat pelbagai aplikasi yang boleh digunakan dalam dakwah online melalui internet. Antara yang popular adalah melalui email (seperti Yahoo! Mail dan Gmail), chatting (seperti Yahoo! Messenger, ICQ dan Skype), group discussion (seperti Yahoogroups dan Googlegroups) dan laman web. Kertas ini hanya menyentuh tentang aplikasi melalui laman web. Secara umum, laman web (tapak web atau laman sesawang) adalah dokumen berisikan maklumat yang boleh dilawati di jaringan internet menggunakan pelayar web seperti Microsoft Internet Explorer, Netscape atau Mozilla Firefox. Laman web terbahagi kepada web statik dan dinamik. Namun, laman web statik sekarang sudah ketinggalan zaman kerana netter lebih suka kepada laman web dinamik yang boleh berfungsi secara interaktif dan terdapat hubungan dua hala.

Laman web sebenarnya terdapat dalam tiga bentuk utama iaitu (i) Web Portal, (ii) Forum, dan (iii) Weblog. Ketiga-tiga jenis laman web ini boleh dibangunkan secara bersendirian atau digabungkan semua atau sebahagiannya. Gambar rajah 1 berikut menunjukkan sebuah laman web yang mengabungkan ketiga-tiga jenis laman web tersebut dan mempunyai eleman interaktif.


Gambar rajah 1 : Hubungan Antara Eleman dalam Laman Web Interaktif

1.    Web Portal
Web portal adalah laman web yang merupakan titik permulaan, pintu laluan atau portal kepada sumber lain di internet atau intranet. Laman web jenis portal ini diwujudkan untuk mengumpulkan maklumat dan menyediakan informasi untuk dikongsi dengan pelawat secara lebih tersusun dan mudah dicapai. Biasanya sesebuah web portal interaktif menggunakan CMS (Content Management System) secara open source seperti Joomla!, PHP Nuke, PHP Fusion dan sebagainya. Ia dilengkapkan dengan aplikasi akaun pengguna, email, forum perbincangan, buku pelawat, galeri gambar, blog dan lain-lain lagi.

2.    Forum
Forum atau papan buletin adalah laman web yang berasaskan kepada perbincangan antara ahli sesuatu forum tersebut. Aplikasi forum boleh dipaparkan secara terus atau dijadikan subdomain dalam sesebuah laman web. CMS forum yang popular adalah phpBB dan SMF (Simple Machines Forum). Laman jenis ini memberikan hak kepada pelawat untuk berkongsi sebarang posting. Pentadbir atau pengendali forum biasanya hanya bertindak sebagai pemantau kepada aktiviti-aktiviti yang dilakukan.

3.    Blog / Weblog
Blog (singkatan untuk web log dalam bahasa Inggeris) adalah sebuah laman web dengan kemasukannya (posting) ditulis menurut urutan kronologi dan dipaparkan dengan tertib terbalik. Menurut laman web wikipedia.org, istilah ‘weblog’ dicipta oleh Jorn Barger pada 17 Disember 1997, sementara singkatannya, ‘blog’ dicipta oleh Peter Merholz yang secara bermain-main memecahkan perkataan weblog menjadi frasa ‘we blog’ di palang sisi blognya, peterme.com pada April atau Mei 1999. Ia kemudiannya diterima umum sebagai ‘to blog’ yang bermaksud ‘mengedit weblog atau mengeposkan perutusan ke dalam weblog’.

Laman web jenis ini kebiasannya lebih menjurus kepada laman peribadi dan paling banyak dibangunkan kerana proses pendaftaran dan penjagaannya yang mudah. Weblog biasanya dikaitkan dengan ulasan atau berita mengenai sesuatu tajuk dan sesetengah blog berperanan lebih sebagai buku harian peribadi dalam talian. Kadang-kadang weblog yang tipikal menggabungan teks, imej, dan pautan ke dalam blog, laman web dan media lain yang berkaitan dengan topiknya.

Selain itu, dakwah juga boleh disampaikan melalui sistem audio video internet. Bahan ceramah, kuliah atau simulasi Islam boleh dikongsi dan disalurkan ke seluruh dunia secara audio atau video. Webtv sebagai contohnya begitu popular di kalangan remaja sekarang. Laman webtv seperti youtube.com, metacafe.com dan video.google.com sangat mudah digunakan dan yang penting ia boleh digunakan secara percuma.

Laman Web Dakwah Online

Terdapat pelbagai bentuk laman web dakwah dalam internet. Ada berbentuk web portal dan forum perbincangan Islam, namun kebanyakannya adalah dalam bentuk weblog. Ada yang dibangunkan oleh institusi, kumpulan atau individu tertentu dan ada pula yang menggunakan nama tokoh-tokoh Islam terkenal dunia. Antara laman web yang popular adalah islamonline.net (dinaungi oleh Dr. Yusof al-Qaradawi) dan islam-qa.com (dinaungi oleh Syeikh Muhammad al-Munajjid). Laman web yang mengandungi fikrah tokoh dakwah Islam terkenal pula adalah seperti qaradawi.net (Dr. Yusof al-Qaradawi), bouti.net (Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Bouti) dan zuhayli.com (Dr. Wahbah al-Zuhayli).

Di Malaysia, laman web dakwah agak berkurangan, terutama yang mengandungi kandungan isinya dalam Bahasa Inggeris. Kebanyakan yang dibina adalah dalam Bahasa Melayu dan lebih mirip kepada perkongsian ilmu. Kita agak jauh ketinggalan daripada rakan kita di Indonesia yang agak terkehadapan dalam dakwah melalui online. Pelbagai laman web dakwah mereka sudah terkenal seperti hidayatullah.com, eramuslim.com, cyberdakwah.net, al-ikhwan.net, dakwatuna.com dan sebagainya.

Secara umum, laman web dakwah di Malaysia biasanya diuruskan oleh individu dan berbentuk weblog. Namun, kebanyakkan weblog tersebut dibina di atas tapak web (hosting) secara percuma seperti blogger.com (blogspot) dan wordpress.com. Hanya sedikit sahaja yang menggunakan hosting berbayar.


Analisa Nama Domain Dakwah Malaysia

Kertas ini akan meneliti beberapa nama domain (alamat laman web) yang menerapkan unsur dakwah dalam posting dan artikel yang dimuatkan. Namun, penelitian ini dibuat mengikut ciri-ciri berikut : (i) Laman web berbahasa melayu Malaysia berdasarkan bukti-bukti kandungan, alamat dan gaya bahasa laman web; (ii) Bukan alamat laman web yang menggunakan subdomain; (iii) Bukan laman web yang terdapat eleman perniagaan atau iklan promosi bermotif keuntungan; (iv) Bukan laman web parti-parti politik atau tokoh besar dalam sesuatu parti; (v) Bukan laman web atau blog yang menggunakan server percuma seperti tripod.com, blogger.com, wordpress.com dan sebagainya; dan (iv) Analisa katakunci dibuat melalui enjin carian pada 12 Julai 2009.

Analisa dibuat dengan penelitian terhadap sambutan pengunjung terhadap laman web tersebut berdasarkan kedudukan rangkingnya di Malaysia dan dunia. Analisa ini dibuat dengan menggunakan kemudahan yang terdapat dalam laman web alexa.com, iaitu sebuah laman web analisa trafik rank sesebuah laman web. Perlu diketahui, maksud traffic rank yang dilakukan oleh laman web ini dijelaskan seperti berikut :

“The traffic rank is based on three months of aggregated historical traffic data from millions of Alexa Toolbar users and data obtained from other, diverse traffic data sources, and is a combined measure of page views and users (reach).” (http://www.alexa.com/help/traffic-learn-more)

Di Malaysia, nama domain laman web yang paling ramai dikunjungi adalah yahoo.com, kemudian diikuti dengan google.com.my (2), facebook.com (3), youtube.com (4), google.com (5), blogger.com (6), live.com (7) dan friendster.com (8). Semua laman web ini adalah daripada antarabangsa. Nama domain yang berasal dari Malaysia yang paling popular adalah thestar.com.my (13), kemudian diikuti dengan maybank2u.com.my (14), mudah.my (15), malaysiakini.com (17) dan lowyat.net (19).

Senarai nama domain di atas juga membuktikan ramai rakyat Malaysia melayari laman web berbentuk portal (seperti yahoo.com, google.com dan live.com yang biasanya digunakan untuk search engine) dan berbentuk jaringan sosial (seperti facebook.com, blogger.com dan friendster.com yang biasanya digunakan sebagai weblog). Laman web jaringan sosial, terutama yang menawarkan sistem weblog merupakan bentuk laman web yang begitu disukai oleh rakyat Malaysia. Daripada 100 laman web popular, 10 laman web jaringan sosial mengisi traffic rank utama di Malaysia seperti Jadual 1 berikut :

Jadual 1 : Traffic Rank Laman Web Jaringan Sosial di Malaysia dan Dunia
Bil.    Web Jaringan Sosial    Traffic Rank (Malaysia)    Traffic Rank (Dunia)
1.    Facebook    3    4
2.    Blogger    6    8
3.    Friendster    8    91
4.    Myspace    11    11
5.    Tagged    12    93
6.    WordPress    16    21
7.    Twitter    41    19
8.    LiveJournal    50    89
9.    Multiply    85    193
10.    Ning    90    162

Jadual di atas juga membuktikan laman web berbentuk jaringan sosial juga popular di seluruh dunia. Ini mungkin boleh dijadikan suatu panduan kepada pendakwah untuk memilih bentuk laman web yang disukai oleh orang ramai.

Hakikat yang perlu kita ketahui, tapak atau fail laman web di Malaysia dengan katakunci ‘islam’ lebih banyak berbanding agama-agama lain. Berikut adalah bilangan tapak atau fail laman web agama utama di Malaysia dan di dunia melalui enjin carian google.com.my (Jadual 2) dan my.yahoo.com (Jadual 3) :

Jadual 2 : Bilangan Tapak/Fail Laman Web Agama Melalui Google Search

Katakunci    Bilangan Tapak/Fail Laman Web (Malaysia)    Bilangan Tapak/Fail Laman Web (Dunia)
islam    2,810,000    104,000,000
christian    433,000    344,000,000
kristian    95,200    12,200,000
hindu    165,000    24,200,000
buddha    113,000    22,200,000


Jadual 3 : Bilangan Tapak/Fail Laman Web Agama Melalui Yahoo! Search

Katakunci    Bilangan Tapak/Fail Laman Web (Malaysia)    Bilangan Tapak/Fail Laman Web (Dunia)
islam    7,910,000    287,000,000
christian    1,150,000    1,190,000,000
kristian    202,000    35,100,000
hindu    631,000    104,000,000
buddha    277,000    77,500,000


Kedua-dua jadual di atas boleh memberi rangsangan kepada para pendakwah untuk terlibat secara maya kerana tapak atau fail laman web Islam agak banyak dan popular di Malaysia. Walaupun begitu, kita perlu akui bilangan tapak atau fail laman web Islam di seluruh dunia masih kurang berbanding dengan agama Kristian khususnya.



Namun dari aspek yang lain, amat menyedihkan kerana tapak atau fail laman web dengan katakunci ‘seks’ dan ‘sex’ juga popular di kalangan rakyat kita. Walaupun katakunci ‘islam’ mempunyai tapak atau fail yang lebih banyak, namun bilangan laman web dengan katakunci ‘dakwah’ atau ‘tazkirah’ kurang berbanding dengan laman web ‘sex’. Realiti kuantiti tapak atau fail laman web ini ini jelas dalam Jadual 4 berikut :

Jadual 4 : Bilangan Carian Tapak/Fail Laman Web Mengikut Katakunci

Katakunci    Enjin Carian
Google Malaysia    Enjin Carian
Yahoo! Malaysia
islam    2,810,000    7,910,000
dakwah    369,000    664,000
tazkirah    214,000    571,000
seks    254,000    595,000
sex    1,160,000    3,910,000


Realiti hasil penelitian dalam alexa.com, tiada satupun laman web yang kandungannya berbentuk dakwah atau eleman Islam yang tersenarai dalam 100 laman web popular di Malaysia. Namun, terdapat sebuah laman web, iaitu tranungkite.net mempunyai rangking yang agak baik iaitu kedudukan 152 di Malaysia (34,690 di dunia). Namun, laman ini dikategorikan sebagai laman politik walaupun terdapat banyak eleman dakwah, tazkirah dan forum perbincangan berkaitan Islam di dalamnya. Setelah dibuat analisa melalui katakunci ‘islam’ pula, laman web dalam Jadual 5 berikut telah disenaraikan paling popular :

Jadual 5 : Traffic Rank Laman Web Malaysia dengan Katakunci ‘Islam’

Nama Laman Web    Nama Domain    Traffic Rank (Malaysia)    Traffic Rank (Dunia)
Discover the Beauty of Islam    iluvislam.com
373    59,007
Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM)
islam.gov.my
1,270    222,047
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman    zaharuddin.net
1,254    223,491
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
saifulislam.com    1,386    175,672
Halaqah
halaqah.net
2,706    326,563

Walaupun laman web JAKIM menduduki rangking 1,270 di Malaysia, namun laman web ini kurang popular di luar negara berbanding laman web Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Ini kerana pengunjung laman web tersebut lebih ramai di serata dunia seperti Jadual 6 berikut :

Jadual 6 : Perbandingan Laman Web saifulislam.com dan islam.gov.my

Katakunci    saifulislam.com    islam.gov.my

Pelawat Mengikut Negara    66.2% Malaysia
14.3% Japan
5.9% Indonesia
5.1% United Kingdom
2.9% Egypt
2.4% Brunei
1.2% Jordan
1.0% France
1.0% OTHER
75.4% Malaysia
2.6% Indonesia
1.4% Singapore
20.7% OTHER

Traffic Rank Negara Luar    3,233 Brunei
37,969 Egypt
237,560 France
68,646 Indonesia
70,608 Japan
7,975 Jordan
1,386 Malaysia
124,562 United Kingdom
141,405 Indonesia
1,270 Malaysia
44,526 Singapore


Namun, laman web JAKIM seharusnya dipuji kerana ia satu-satunya laman web di Malaysia, malah di dunia yang beroperasi dalam empat bahasa, iaitu Melayu, Inggeris, Arab dan Cina. Selain laman web JAKIM, terdapat laman web pelbagai institusi dakwah di Malaysia yang berjaya memainkan peranan dalam proses dakwah di samping memuatkan aktiviti masing-masing. Jadual 7 berikut menunjukkan rangking setiap laman web organisasi tersebut.


Jadual 7 : Traffic Rank Laman Web Institusi Dakwah Malaysia

Nama Laman Web    Nama Domain    Traffic Rank (Malaysia)    Traffic Rank (Dunia)
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
islam.gov.my
1,270    222,047
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)    ikim.gov.my    6,874    833,904
Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR)
jawhar.gov.my    24,230    2,865,199
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
jim.org.my    25,338    2,635,251
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM)    perkim.net.my    37,731    2,864,792
Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM)    yadim.com.my
39,121    1,895,752
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)    abim.org.my    46,825    2,393,618
Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM)    e-ulama.org    46,962    4,296,439
Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa' Malaysia
al-nidaa.com.my    -    3,662,900
Masjid Negara    masjidnegara.gov.my    -    4,959,609
Masjid Putra    masjidputra.gov.my    -    8,609,239
Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA)
macma.org.my    -    11,861,889


Setiap majlis dan jabatan agama Islam di negeri-negeri seluruh semenanjung juga mempunyai laman web masing-masing. Rangking bagi setiap laman web tersebut ditunjukkan dalam Jadual 8 berikut :


Jadual 8 : Traffic Rank Laman Web Majlis / Jabatan Agama Islam Malaysia

Nama Majlis/Jabatan    Nama Domain    Traffic Rank (Malaysia)    Traffic Rank (Dunia)
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)    islam.gov.my
1,270    222,047
Jabatan Agama Islam Selangor    jais.net.my    11,083    1,661,299
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan    jawi.gov.my    12,519    1,500,289
Majlis Agama Islam Negeri Johor    maij.gov.my    22,713    3,512,495
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
maiwp.gov.my    33,689    3,448,331
Majlis Agama Islam Selangor    mais.gov.my    37,621    4,183,801
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu    maidam.gov.my    40,775    4,451,650
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak    maiamp.gov.my    45,848    4,983,105
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang    muip.gov.my    59,811    6,804,396
Majlis Agama Islam Melaka    maim.gov.my    62,458    7,824,701
Majlis Agama Islam Kedah    maik.gov.my    -    10,485,572
Majlis Agama Islam Negeri Sembilan    mains.gov.my    -    15,560,146
Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang    mainpp.gov.my    -    -
Walaupun begitu, laman Majlis Agama Islam bagi negeri Kelantan, Perlis, Sarawak, Sabah dan laman Jabatan Agama Islam negeri selain Selangor tidak terdapat dalam analisa di atas kerana menggunakan subdomain kepada laman web kerajaan negeri.

Selain institusi dakwah, terdapat juga tokoh personaliti Islam di Malaysia yang mempunyai laman web tersendiri. Sekali imbas, semuanya mempunyai peminat setia masing-masing. Malah, laman web ustaz Zaharuddin Abd Rahman dan ustaz Hasrizal Abdul Jamil merupakan antara laman web yang menduduki rangking teratas antara laman-laman web dakwah. Senarai tokoh Islam yang lain dan rangking laman web mereka ditunjukkan dalam Jadual 9 di bawah :

Jadual 9 : Traffic Rank Laman Web Personaliti Islam Malaysia

Nama    Nama Domain    Traffic Rank (Malaysia)    Traffic Rank (Dunia)
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman    zaharuddin.net
1,254    223,491
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
saifulislam.com    1,386    175,672
Dr. Mohd Asri Zainal Abidin    drmaza.com
3,108    419,897
Ustaz Azhar Idrus    ustazazhar.com    5,569    777,969
Ustaz Zahazan Mohamed
zahazan.net    12,241    2,094,327
Hafiz Firdaus Abdullah    hafizfirdaus.com    12,437    1,249,909
Ustaz Muhamad bin Abdullah    ustazamin.com    30,667    2,816,893
Dr. Danial Zainal Abidin    danialzainalabidin.com
89,166    4,959,879


Semua laman-laman web yang diterangkan sebelum ini adalah dari jenis web portal dan weblog. Namun, ruang yang paling sesuai dan menarik dalam proses dakwah adalah dalam laman web yang mempunyai medium forum perbincangan. Laman web sebegini biasanya boleh bertahan lama jikalau terdapat ahli yang aktif yang menghantar posting. Suatu keistimewaan forum adalah interaktif dengan setiap posting akan terus disiarkan dan boleh mendapat balasan segera daripada ahli yang lain. Antara forum dakwah yang popular dalam Bahasa Melayu Malaysia adalah seperti dalam Jadual 10.
Jadual 10 : Traffic Rank Laman Web Forum Malaysia

Nama Forum    Nama Domain    Traffic Rank (Malaysia)    Traffic Rank (Dunia)
Halaqah    halaqah.net
2,706    326,563
al-fikrah.net    al-fikrah.net    4,093    548,809
al-ahkam.net    al-ahkam.net    6,995    820,941
Bicaramuslim.com    bicaramuslim.com
12,181    1,145,187
Muslim Diary    muslimdiary.com
20,341    798,474

Selain itu, terdapat banyak laman web lain yang menyampaikan seruan dakwah Islam kepada semua. Kepada yang meminati bahan dalam bentuk audio video, layarilah laman web terengganukini.net, kuliyah.net, almuttaqin.tv atau myceramah.com. Laman umum lain yang bermanfaat adalah darulkautsar.net, al-qayyim.net, darussyifa.org, darussalam.org.my, soleh.net, epondok.com.my, menadahkitab.com, ummahonline.com, halaqah-online.com, tayibah.com, mymasjid.net.my dan sebagainya.

Cadangan

Untuk mewujud dan memperkasakan usaha dakwah secara online di internet, penulis mencadangkan perkara berikut untuk direalisasikan :
(i)    Semua pendakwah Islam mempunyai laman web atau weblog sendiri yang beroperasi secara aktif, menarik dan mudah diakses serta mempunyai pautan dengan laman web bermanfaat lain (dakwah sharing).
(ii)    Semua institusi dakwah Islam mesti sentiasa kemas kini dengan informasi dan interaksi kepada isu Islam semasa.
(iii)    Laman web institusi berautoriti dan mempunyai dana seperti JAKIM (islam.gov.my) beroperasi dengan staf tetap yang ramai dan dikemaskini setiap minit.
(iv)    Laman web dakwah mempunyai proses Search Engine Optimization (SEO) sebagai agen pemasaran dengan meta tag Islam untuk dikenali oleh enjin carian.
(v)    Laman web dakwah dilengkapkan dengan fungsi RSS (Really Simple Syndication atau Rich Site Summary) yang menjadi perantara bagi menyebarkan kandungan terkini laman web kita kepada pelayar internet yang melanggannya.

Penutup

Laman web yang disebutkan dalam kertas ini adalah web yang menggunakan hosting berbayar. Seperti yang dijelaskan pada awal kertas ini, banyak weblog dakwah orang Malaysia yang dibina menggunakan hosting percuma. Justeru, di sana terdapat ribuan lagi laman web atau blog dakwah yang tidak dicatatkan dalam kertas ini. Insya Allah, saudara-saudari yang membaca kertas inilah yang akan meneruskan catatan ini demi kebaikan Islam dan semua. Mudah-mudahan kertas ini ada manfaatnya.

Rujukan Web
http://www.alexa.com
http://www.google.com.my
http://www.googlerankings.com
http://www.kripkornstudios.com.my
http://ms.wikipedia.org
http://my.search.yahoo.com

 

“Islam adalah suatu sistem universal yang lengkap dan mencakup seluruh aspek hidup dan kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air, pemerintahan dan rakyat, akhlak dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan peradilan, material dan sumber daya alam, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan pemikiran, sebagaimana Islam adalah aqidah yang lurus dan ibadah yang benar, tidak kurang dan tidak lebih”. - Hasan al-Banna

Apakah Islam?
loader

Janganlah bergurau kerana umat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

 

Latest Article