Wednesday 24 Jan 2018
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
  • default style
  • blue style
  • red style
  • yellow style
Keupayaan berdakwah secara maya masih terhad PDF Print E-mail

Keupayaan berdakwah secara maya masih terhad

Fobia kepada teknologi, kurang tenaga jejas usaha penyampaian ilmu Islam dalam internet
Oleh : Najahudin Lateh (Artikel asal di Berita Harian, 22 November 2009)

DAKWAH adalah usaha menyampai, mengajak atau menyeru manusia mengenali, menerima dan menghayati Islam yang dilaksanakan melalui kaedah, teknik dan pendekatan tertentu. Galakan untuk berdakwah terbuka kepada seluruh umat Islam. Begitu juga Islam sebagai agama yang fleksibel tidak mengehadkan pendakwah untuk menggunakan kaedah tertentu dalam proses dakwah. Malah, mereka digalakkan menggunakan medium terbaik sesuai pada sesuatu zaman dan tempat. Dakwah talian terus online adalah kaedah dakwah secara tidak langsung, iaitu pendakwah tidak bertemu secara fizikal dengan mad’u. Dakwah ini biasanya berlaku melalui internet ataupun komunikasi lain seperti telefon bimbit. Dakwah kaedah ini tidak mensyaratkan seorang pendakwah itu mahir dalam komunikasi atau mempunyai ilmu Islam banyak. Malah, sesiapa saja boleh menjadi pendakwah. Yang penting dalam dakwah online adalah bahan dakwah bukannya siapa yang menyiarkannya.


Walaupun begitu, dakwah maya sebegini juga mempunyai pelbagai cabaran dan hambatan tertentu. Kita perlu mengakui internet sebagai lebuh raya maklumat berakar umbi di dunia Barat. Ia tidak terlepas daripada nilai, falsafah dan gaya hidup mereka di sana. Justeru, proses penyaringan input yang diperoleh perlu dibuat sebelum penyebarannya kepada umum. Kadang-kadang maklumat dan bahan yang terdapat dalam internet sebenarnya dihasilkan oleh orientalis, pengembang agama dan musuh Islam untuk mengelirukan dan memecahbelahkan umat. Kaedah asas dengan merujuk sumber primer dan sekunder seperti al-Quran, hadis dan karya ulama perlu dilakukan. Ini belum dikira hambatan luaran seperti kemunculan pelbagai fikrah, ideologi, dakyah palsu, sebaran fitnah, gambar atau video pornografi di alam maya.

Dari aspek pendakwah, sebenarnya ramai yang masih takut dan fobia kepada teknologi. Kekurangan tenaga ini sedikit sebanyak menjejaskan usaha penyampaian ilmu Islam di internet yang secara realitinya masih dikuasai dengan bahan yang tidak bermanfaat. Ini ditambah dengan kurangnya pendakwah yang boleh menguasai bahasa Inggeris menyebabkan dakwah kita terpinggir dan masih di kandang sesama kita. Lebih malang, anggapan bahawa dakwah kerja eksklusif ustaz serta ulama saja dan bukannya setiap individu Muslim masih wujud di sanubari umat Islam.

Ada pelbagai aplikasi boleh digunakan dalam dakwah online melalui internet. Antara yang popular adalah melalui e-mel (seperti Yahoo! Mail dan Gmail), laman sembang (seperti Yahoo! Messenger, ICQ dan Skype), diskusi kumpulan (seperti Yahoogroups dan Googlegroups) dan laman web. Selain itu, bahan ceramah, kuliah atau simulasi Islam boleh dikongsi dan disalurkan ke seluruh dunia secara audio atau video. Webtv sebagai contohnya begitu popular di kalangan remaja sekarang. Laman webtv seperti youtube.com, metacafe.com dan video.google.com sangat mudah digunakan dan yang penting ia boleh digunakan percuma.

Ada pelbagai bentuk laman web dakwah dalam internet. Ada berbentuk web portal dan forum perbincangan Islam, namun kebanyakannya dalam bentuk weblog. Di Malaysia, laman web dakwah agak berkurangan, terutama yang mengandungi kandungan isinya dalam Bahasa Inggeris. Secara umum, laman web dakwah di Malaysia biasanya diuruskan individu dan berbentuk weblog. Namun, kebanyakan weblog itu dibina di atas tapak web secara percuma seperti blogger.com (blogspot) dan wordpress.com. Hanya sedikit saja menggunakan tapak berbayar.

Realitinya, hasil penelitian melalui laman alexa.com menunjukkan tiada satu pun laman web berbentuk dakwah atau elemen Islam yang tersenarai dalam 100 laman web popular di Malaysia. Hanya lima laman web disenaraikan paling popular di Malaysia ialah iluvislam.com (kedudukan 373 di Malaysia), islam.gov.my (1,270), zaharuddin.net (1,254), saifulislam.com (1,386) dan halaqah.net (2,706). Malah, laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seharusnya dipuji kerana ia satu-satunya laman web di Malaysia, malah di dunia yang beroperasi dalam empat bahasa, iaitu Melayu, Inggeris, Arab dan Cina.

Hakikatnya, dakwah melalui internet dan secara online mempunyai potensi yang besar. Namun, keupayaan umat Islam di negara ini untuk memaksimumkan penggunaan medium ini masih kurang. Seharusnya mulai sekarang semua pendakwah Islam mempunyai laman web atau weblog sendiri yang beroperasi secara aktif, menarik dan mudah diakses. Institusi dakwah Islam juga mesti sentiasa kemas kini dengan maklumat dan interaksi kepada isu Islam semasa. Jika ini dibuat, nescaya aktiviti dakwah semakin maju dan meluas ke seluruh dunia.


INTI PATI
* Islam tidak mengehadkan pendakwah untuk menggunakan kaedah tertentu dalam proses dakwah. Malah, mereka digalakkan menggunakan medium terbaik sesuai pada sesuatu zaman dan tempat.

* Dakwah melalui internet dan secara online mempunyai potensi yang besar, namun kekurangan tenaga ini sedikit sebanyak menjejaskan usaha penyampaian ilmu Islam di internet.

Penulis ialah pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan boleh dihubungi e-mel, This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

 

 

“Islam adalah suatu sistem universal yang lengkap dan mencakup seluruh aspek hidup dan kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air, pemerintahan dan rakyat, akhlak dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan peradilan, material dan sumber daya alam, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan pemikiran, sebagaimana Islam adalah aqidah yang lurus dan ibadah yang benar, tidak kurang dan tidak lebih”. - Hasan al-Banna

Apakah Islam?
loader

Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asas gerakan dakwah kita adalah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

 

Latest Article